#Coretan: 2016 Telah Tiba
2016 telah pun menjengah. Alhamdulillah, masih dikurniakan kesempatan untuk terus bernafas dan terus mengecapi dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan Islam. Ya, sekarang ini masih sedang menyambung dalam pengajian di tahun akhir dalam kursus Ekonomi Perniagaan. Satu kursus yang mungkin orang yang mendengar akan mengatakan ianya sangat temeh, satu pengajian yang tak perlu dipelajari mungkin, tetapi pada hakikatya, pengetahuan tentang ekonomi ini sangat penting dalam merangka perancangan dan juga perbelanjaan bagi sesebuah negara, firma-firma perniagaan mahupun dalam kehidupan seseorang individu seharian. Setelah hampir dua tahun menyambung pelajaran, fikiran lebih terbuka tentang isu semasa, dunia perniagaan, cabaran ekonomi dan juga perancangan-perancangan yang perlu dilakukan dalam memajukan diri demi kelansungan hidup, mencari bekalan ke ukhrawi.
Cabaran getir 2016
Mengapa begitu? Jika dilihat dari keadaan ekonomi semasa yang agak kurang memberansangkan, 2016 dilihat sebagai tahun yang sangat mencabar. Kejatuhan harga minyak mentah dunia telah memberi impak yang sangat besar terhadap ekonomi semasa dan kesannya sangat terasa di negara kita, Malaysia yang sebahagian besarnya bergantung kepada hasil minyak yang terdapat di negara kita ini. PETRONAS, syarikat petroleum negara ini sangat menerima tempiasnya apabila keuntungan pada suku ketiga 2015 telah pun menurun sehingga 91% berbanding pada tempoh yang sama pada 2014. Impak yang sangat hebat!
Penurunan harga minyak mentah dunia telah menyebabkan hasil kepada kerajaan menurun dengan mendadak dan ini menyukarkan pihak kerajaan untuk meneruskan perbelanjaan fiskal untuk meneruskan pengembangan ekonomi negara. Namun, pelaksanaan GST bermula 1 April 2015 yang lalu telah pun memberi satu sumber pendapatan baru bagi negara ini. Perbelanjaan defisit yang dilakukan oleh pihak kerajaan kini bergantung juga pada hasil daripada pelaksanaan GST.
Bagi individu, pada tahun ini, setiap individu terpaksa mengawal perbelanjaan disebabkan kenaikan harga barang dan juga pergerakan ekonomi yang perlahan. Bagi yang berpendapatan tinggi, mungkin tidak terlalu merasakan kesannya, tetapi kesannya amat-amat dirasai bagi mereka yang berpendapatan rendah. Terpaksa berjimat cermat dalam melakukan perbelanjaan dan merancang perbelanjaan dengan hanya berbelanja perkara yang benar-benar perlu sahaja. Bagi mahasiswa pula, mengikat perut bagi menjimatkan perbelanjaan itu merupakan perkara biasa. Hal ini menyebabkan makanan yang dimakan agak kurang khasiatnya,
Bekerja sambil belajar?
Bagi sesetengah pelajar, mungkin perkara itu boleh dilakukan tetapi bagi sesetengah pelajar yang lain, ianya sukar untuk melakukan dua kerja dalam satu masa kerana fokus mereka terhadap pelajaran berkemungkinan akan terganggu. Hasilnya, mungkin mereka akan mendapat keputusan yang kurang memberansangkan dalam pelajaran. Bagi pelajar yang mempunyai pekerjaan semasa belajar ini pula, pendapatan yang diperoleh membolehkan mereka untuk menabung dan juga hidup dengan lebih selesa.
2016 merupakan satu tahun yang menggetirkan. Bersedia atau tidak, kita akan menghadapinya. Bagi bakal-bakal graduan terutamanya, kebimbangan terhadap kebarangkalian untuk mereka menganggur amatlah tinggi disebabkan polisi pembekuan telah banyak dilakukan oleh syarikat-syarikat swasta mahupun kerajaan. Hal ini termasuklah diri saya yang akan menjadi graduan tidak lama lagi. Bimbang juga saya dengan keadaan sekarang ini, namun, perancangan telah pun dilakukan. Inshaa Allah, jika tiada aral, ianya akan dilaksanakan.
Sekian coretan untuk kali ini.
Comments
Post a Comment